Sunday 26 June 2011

Permainan Tradisional Masyarakat Melayu ( Konda-Kondi)



Pengenalan


Permainan tradisional telah berupaya membentuk sebahagian daripada kehidupan yang dilalui oleh nenek moyang pada zaman mereka. Asas penting yang menjamin kesinambungan permainan tradisional pada masa lalu ialah keseragaman cara hidup nenek moyang kita. Permainan tradisional juga dikenali sebagai permainan rakyat. Ada di antara permainan ini yang sekarang tidak dimainkan lagi tetapi hanya diketahui oleh ibu bapa dan datuk nenek kita sahaja. Tetapi ada juga yang masih dimainkan lagi oleh kanak-kanak sehingga hari ini.  Antara permainan itu termasuklah Konda - Kondi.

Sejarah
         
Permainan ini bermula di Negeri Melaka dan berkembang ke negeri-negeri lain di seluruh Malaysia, permainan ini menjadi popular di kalangan kanak-kanak lelaki berbangsa melayu sahaja. Pemain memerlukan kekuatan mental dan fizikal semasa bermain. Permainan Konda-kondi juga dikenali sebagai ‘ perik mata ’.

Peralatan

Peralatan yang diperlukan dalam permainan ini terdiri daripada dua batang kayu hanya sebesar ibu jari sahaja.
  1. Kayu Ibu, (kayu panjang) kayu ini digunakan sebagai pemukul (penyungkit). Panjang kayu 60cm. Kayu ini berbentuk lurus, bulat dan dari kayu yang keras.
  2. Kayu Anak, (kayu pendek) kayu ini dikuis oleh pemain ke udara. Panjang kayu ini 15cm. Kayu ini juga berbentuk lurus, bulat dan jenis kayu yang keras.

Tempat bermain

Permainan ini tidak perlu ada ruang yang luas, sebaik-baiknya dijalankan di tengah-tengah padang untuk memudahkan permainan dimainkan.  Di tengah-tengah padang di korek sebuah lubang sedalam 15cm dengan panjangnya 15cm dan lebarnya 10cm. Tujuan lubang ini dibuat adalah memudahkan pemain menyungkit kayu anak melambung ke udara.

Cara Bermain

Permainan Konda-Kondi dimainkan oleh dua pasukan. Setiap pasukan terdiri daripada dua orang. Lebih meriah permainan dimainkan lebih dari enam orang satu pasukan.
Cara memulakan permainan undian cara wan to som ’ akan dilakukan untuk menentukan pasukan yang harus  memulakan permainan terlebih dahulu.

Cara Pertama

          Pemain pertama memulakan permainan dengan meletakkan kayu anak melintang di lubang, manakala kayu ibu menyungkit kayu anak itu supaya melambung ke udara. Selepas itu pemain pertama meletakkan kayu ibu  di lubang. Pada masa yang sama pemain pasukan lawan hendaklah cuba menyambut anak kayu yang dikuis oleh pemain sebelum jatuh ke tanah.
          Jika pasukan lawan berjaya berbuat demikian, semua pemain daripada kumpulan yang sedang bermain dikira mati. Permainan akan diambil alih pula oleh pasukan lawan, tetapi jika pasukan lawan gagal menyambutnya. Mana-mana ahli hendaklah membalingkan kayu anak masuk ke dalam lubang ataupun mengenai kayu ibu.
          Sekiranya kayu anak itu masuk ke dalam lubang ataupun terkena kayu ibu yang di letakkan secara melintang hanya pemain itu sahaja dikira mati. Sebaliknya, jika kayu yang di balingkan oleh pemain lawan itu tidak mengenai lubang atau kayu ibu tersebut, pemain tersebut boleh mendapatkan mata dengan mengira jarak kayu itu jatuh dari lubang. Satu jarak kayu ibu dikira satu mata.

Cara Kedua

          Pemain tadi akan mengambil kayu anak dan melambungkan ke udara, kemudian memukul kuat dengan kayu ibu. Pemain akan diberi peluang sebanyak tiga kali jika pukulan pertama atau kedua tidak kuat.
          Sekali lagi pemain lawan cuba menyambut, jika tidak berjaya pemain tadi boleh mendapat mata dengan kiraan yang sama. Mata yang diperoleh dicampur dengan mata dari langkah pertama.

Cara Ketiga

          Seterusnya, pemain beralih kepada langkah ketiga yang disebut ‘ patuk ular ’. Pemain menyandarkan kayu anak di tepi lubang, kemudian mengetuk hujung kayu anak dengan kayu ibu. Jika pukulan dibuat dengan baik , kayu anak akan melambung ke udara. Pemain itu hendaklah bersedia untuk memukul kayu anak itu sebelum jatuh ke tanah dengan menggunakan kayu ibu. Kiraan mata tetap sama seperti sebelumnya. Pasukan yang mempunyai mata tertinggi memenangi perlawanan ini.

Peraturan Permainan

          Antara peraturan yang perlu dikenakan kepada pemain atau pasukan dalam permainan ini ialah:
1.                 Permainan hanya boleh dimainkan secara kumpulan sahaja. Sebaik-baiknya dimainkan dua kumpulan yang masing-masing mempunyai dua atau tiga orang pemain.
2.                 Setiap pasukan harus mempunyai satu set alat permainan konda-kondi.
3.                 Hanya dua batang kayu yang berlainan saiz diperlukan.
4.                 Setiap pemain termasuk pihak lawan tidak boleh mengacah ketika pemain pertama memulakan permainan.
5.                 Sekiranya pemain telah terbatal permainannya, kayu yang digunakan harus diberi kepada pihak lawan dengan baik.

Perkara Yang Membatalkan Permainan

1.                 Jika kayu anak dapat disambut oleh penjaga. Pemain dikira  ” mati ”
2.                 Jika kayu anak yang dilemparkan oleh penjaga mengena kayu ibu atau termasuk lubang, pemain pemain dikira ” mati ” dan permainan terpaksa diberhentikan.
3.                 Pemain akan dikira mati apabila kayu anak jatuh di suatu tempat yang jaraknya dengan lubang tidak sampai satu ukuran kayu ibu.
4.                 Pada peringkat ketiga, pemain tidak dapat memukul kayu anak sebanyak tiga kali, pemain seterusnya akan melakukan pukulan.
5.                 Jika kayu anak terkena badan pemain, satu mata kiraan akan ditolak.
6.                 Kumpulan penjaga dapat bermain selepas pemain akhir ” mati ”.


Kiraan Mata

Terdapat dua cara mengira mata kemenagan:

  1. Mengukur menggunakan panjang kayu ibu. Cara ini adalah cara yang paling banyak digunakan oleh para pemain.
  2. Mengira padang atau mengira satu-satu pusingan dengan menentukan masanya. Misalnya selama satu jam.
Sekiranya salah satu kumpulan mempunyai mata yang lebih tinggi berbanding pihak lawan, bermakna pusingan tersebut dimenangi oleh kumpulan yang mengutip mata yang banyak.

Fungsi Masa Kini

Konda-kondi hanya dimainkan oleh kanak-kanak untuk mengisi masa lapang mereka apabila penat belajar. Kepopularan konda-kondi adalah terhad, permainan ini juga tidak dapat dipastikan masa hadapannya. Mungkin suatu hari kelak permainan ini tidak lagi dikenali.

Kesimpulan

Sebagai satu permainan tradisional, adalah diharapkan lebih baik permainan ini sebagai permainan yang dimainkan  oleh murid-murid sekolah. Oleh demikian semua pihak sama ada pihak sekolah atau pihak berwajib harus mengenengahkan permainan ini sebagai salah satu aktiviti sukan yang penting.







RUJUKAN

Syed Mahadzir (2009). Permainan Tradisional Rakyat, Siri Khazanah Budaya.ms. 40-44.
Jasiman Ahmad (20040. Permainan Daerah, Siri Permainan Tradisional.ms 1-8.









3 comments: